Wednesday, September 7, 2011

Aidilfitri dan Selamat Datang adik-adik baru







Setinggi rasa syukur kupanjatkan ke hadrat Ilahi, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Perjalanan Hari Kemenangan yang penuh dengan 1001 kemanisan. Bersyukur kerana masih tergolong untuk meraikan Hari Kemenangan bagi umat Islam setelah sebulan menjalani sekolah Ramadhan.



Kemanisan memohon maaf atas khilaf yang lalu, dari ahli keluarga, sanak saudara, sahabat handai. Al Maklum, makhluk kecil yang tidak henti-henti melakukan kesalahan. Kunjungan tetamu yang mampu memberi kemeriahan, bantuan bonda menyediakan hidangan, konvoi raya bersama sahabat selamanya, dan berkepul-kepul angpau yang disambut baik oleh tangan kanan, indahnya di Hari Lebaran.






Juga kehilangan fon sewaktu bersama sahabat mengunjungi rumah-rumah terpilih turut menambahkan seri Aidilfitri, mengajakku kembali muhasabah, bersyukur atas kurniaanNya kerana segala di dunia hanya barang pinjaman. Lantas ku redha.....





SELAMAT DATANG MAHASISWA UKM, SESI 2011/2012




Terasa sangat singkat saat meraikan Aidilfitri, ketibaan adik-adik baru yang mendaftar di Perbukitan Ilmu UKM disambut ceria. Tahniah kerana berjaya menggilap potensi diri sehingga melayakkan diri melangkah ke alam ilmu yang lebih mencabar. Tidak ketinggalan juga buat adik-adik SMKA Sultan Muhammad, Melaka yang mendapat tempat di UKM, Selamat Datang!



Sedikit kecewa, Majlis Perwakilan Pelajar yang telah diletakkan kepercayaan oleh mahasiswa tidak diberi ruang untuk bersama-sama menyambut ketibaan adik-adik baru, malah ditengking, dimarahi, tidak ubah seperti peminta sedekah di jalanan. Adakah pentadbiran bersikap double standard dan diskriminasi terhadap Persatuan Mahasiswa Universiti yang diterajui oleh Gabungan Mahasiswa UKM? Di mana keprofesionalan pentadbiran dalam pengurusan? Masih menganggap kami seperti pembangkang, sedangkan kerajaan PMUKM sudah menjadi milik kami. Itu kepercayaan mahasiswa.




Semoga kain putih itu tidak dikotori oleh tangan-tangan yang jelas kekotorannya. Kami ingin BERSIH...


Friday, September 2, 2011

Antara Boling dan Realiti




Maha suci Allah Tuhan sekalian alam. Kupanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran kerana masih lagi mampu menghirup udara nyaman kurniaanNya tanpa memerlukan apa-apa alat bantuan pernafasan dan sebagainya.

Telah 4 hari Ramadhan berlalu pergi, kedatangan Syawal yang kujangka dingin pada tahun ini rupanya meleset sama sekali apabila ramai sanak saudara yang turut pulang beraya di kampung. Setelah penat menjelajah desa Muar dan Ijok, Kota Melaka pula kutawan.

Perayaan kali ini agak unik, kami (aku, adik dan abang) sambut petang raya ke empat di Melaka International Bowling Centre setelah beberapa kali cubaan untuk ke medan itu sebelum ini gagal. Cinta untuk aku kaitkan permainan boling dengan usaha gigih untuk mencapai sesuatu kejayaan, tidak kira sama ada visi, misi atau objektif dalam hidup.

Permainan yang pada mulanya amat membosankan aku jalani dengan penuh tabah biar beberapa kali longkang kenyang menerima suapan. Namun, bantuan, pertolongan, serta nasihat adik dan abang mampu mengembalikan semula semangat ku yang telah lumpuh tadi. Game pertama yang mendapat markah ibarat hidup segan mati tak mau bertukar ceria apabila semangat yang telah bangkit pada Game kedua mampu melonjakkan aku untuk menduduki tangga kedua mengalahkan adik yang baru setahun jagung itu.

Begitu juga kulihat perjalanan hidup yang telah kulalui, selama 22 tahun, adakala kita berada di atas, dan kadangkala kita berada di bawah. Dan tidak semestinya jika pada peringkat awalnya kita di bawah, kita akan terus berada di bawah dan di bawah. Jika usaha yang bersungguh diiringi dengan doa dan tawakal, pasti Allah tidak akan mensia-siakannya. Persis juga dengan permainan boling tadi, usaha yang hampir membuatku berputus asa dan tidak mahu main bertukar menjadi semangat dan menghampiri kejayaan(;p)setelah datangnya keyakinan, sokongan dan semangat. Dalam hati ku berdoa syukur kerana Dia menganugerahkan aku sedikit kegembiraan dalam permainan tersebut kerana berjaya memperoleh “Strike” biarpun sekali.

Namun, kadangkala kita diuji. Setelah usaha, doa, tawakal, keyakinan, dan semangat telah kita gauli bersama, tetapi kejayaan masih tidak kunjung tiba. Lantas, kita patut ucap juga rasa syukur kerana diberi ujian sebegitu rupa kerana kadangkala ujian sebegitu mampu mengajak kita lebih menghampiriNya dan terus berusaha. Ujian sebegitu juga mampu mengalihkan pandangan kita untuk melihat keadaan saudara kita di luar sana yang mendapat ujian yang lebih besar lagi. Keadaan sebegitu cukup untuk menghadirkan rasa syukur yang tidak terhingga biarpun sedikit terluka menjalani detik-detik diuji.

Selebat manapun hujan turun, pasti akan tiba saat untuk ia berhenti. Biarpun kita tidak memperoleh kejayaan dalam satu-satu pencapaian, pasti kejayaan di bidang lain akan datang menghampiri. Di sinilah terasa hebatnya senjata doa bagi seseorang Muslim.


Mungkin cukup sekadar itu perkaitan boling dengan realiti kehidupan. Harapanku agar Umat kini tidak mudah melatah berhadapan dengan ujian, malah terus bangkit dan mengatakan TIDAK pada kekalahan. Fuhh.. kuat sungguh penangan boling. Tidak terlambat untuk aku mengucapkan tahniah buat Shahrin Azam kerana berjaya menjuarai Perlawanan Boling Peringkat Ismaon’s Son pada kali ini. Buat yang kurang berjaya, Shazwan Afiq, anda ada banyak masa lagi untuk berlatih. Take ur time. Cuba lagi!.