Thursday, December 22, 2011

Dia menghampiri..


Duduk diri, duduk diri, semakin tidak percaya aku semester yang seakan baru sahaja kutempuhi sudah pon berada di tahap klimaksnya. Ujian penilaian akhir yang bakal menentukan prestasi para pelajar kini berada di sekitar sudut (around the corner).

Percutian seminggu yang diperuntukkan oleh pihak kampus bukan diguna untuk merehatkan minda seperti pergi melancong, beriadah bersama keluarga, mengembara bersama rakan-rakan.. BUKAN! BUKAN! BUKAN!. Sebaliknya, peruntukan percutian adalah semata-mata untuk menyesakkan lagi dada-dada para pelajar yang sememangnya sudah sedia sesak di hujung-hujung semester ini. Manakan tidak, biasanya di hujung-hujung semester inilah segala kemungkinan PASti akan berlaku. Tuntutan assignment yang menggunung tinggi, ketebalan muka menghadapi presentation yang memerlukan persediaan rapi, mid term yang sangat menguji, dan saat-saat 'emas' beginilah biasanya mahasiswa disempitkan lagi dengan kelas-kelas ganti yang tidak putus-putus. Allah.. Memang sangat mencabar kehidupan bergelar mahasiswa.



Namun, segala kemungkinan tersebut alhamdulillah dapat dijalani dan dilepasi dengan baik, biarpun pelbagai perasaan menyelinap masuk ke lubuk hati. Dan kini, tibanya saat study week, antara waktu yang sangat-sangat perlu diberi tumpuan oleh semua pelajar. Ingin digambarkan dahsyatnya minggu study week ini, seolah-olah dalam satu semester ini, hanya minggu ini sahaja waktu untuk memahami ilmu yang dipelajari, waktu untuk mengumpul nota, waktu untuk berdiskusi bersama rakan-rakan, dan segala bagai. Mudah gambaran minggu ini seperti satu semester lagaknya, segalanya berada di dalamnya.

Segala usaha dalam satu minggu tersebut hanyalah semata-mata ingin diterjemahkan dalam beberapa helaian kertas di medan perang nanti. Kesungguhan usaha tersebut dipancarkan secara gigih kerana ingin memastikan natijahnya indah di dalam slip keputusan peperiksaan yang bakal dihantar ke rumah-rumah semua mahasiswa. Sudah semestinya kesungguhan itu sangat tinggi, orang kampung nak tengok kot!. huhu.. Hakikatnya bukan itu niatnya. Kejayaan yang diimpi bukan untuk ditinggi dan dipuji, tetapi ingin mengangkat martabat Islam itu sendiri.

Menyedari kepentingan berilmu sejak di bangku sekolah, mendesakku untuk memasakkan dalam diri, agar bersungguh untuk memperoleh kejayaan, biar Umat Islam dipandang tinggi. Kejayaan yang diraih biarlah untuk Islam, kerana Nabi saw bersabda,

الإسلام يعلوا ولا يعلى عليه

Maksudnya : “ islam itu tinggi dan tidak ada yang mengatasinya.”
( Hadis riwayat Bukhari )


Semoga ujian dunia yang bakal ditempuh bagi menamatkan sesi pengajian tahun tiga semester pertama ini bakal membuahkan hasil yang ranum dan segar. Juga buah sahabat-sahabat, perjuangan kita masih panjang. Masih banyak lagi butiran-butiran ilmu yang sepah melata belum lagi mampu untuk kita kutip. Biar segala usaha kita dalam pencarian ilmu diberkatiNya kerana ilmu itu tiada sumber lain melainkan dari Rabbul 'Izzati..


Selamat Maju Jaya!

Wednesday, December 21, 2011

Cincin.


“Faiz nak cari calon yang macam mana?” Saya bertanya sambil menghirup kopi yang masih panas. Tika suasana sejuk begini, setiap hirupan dirasakan cukup nikmat. Tambahan pula berbicara isu-isu tentang Baitul Muslim yang memerlukan fokus yang tinggi.

"Faiz sebenarnya taklah memilih sangat, tapi abang Hisham tengoklah senarai ini, mudah-mudahan ada yang punya ciri sepertinya. Kalau tidak semua pun, saya amat berharap 2/3 darinya dapat dipenuhi, kerana saya ingin melahirkan generasi yang bakal menyambung perjuangan Solahuddin." Ujar Faiz dengan bersemangat sambil menghulurkan sekeping kertas berlipat kepada saya.

"Wah! Serius sungguh nampaknya!" Ujar saya, tetapi hanya di dalam hati.

Saya menyambut kertas yang dihulurkan dan kemudian membukanya perlahan-lahan. Berkerut-kerut dahi saya membacanya.

1. Berkulit putih.

2. Punya lesung pipit.

3. Bertudung labuh

4. Berkaca mata

5. Berasal dari Kelantan, kalau boleh dari jajahan Kota Bharu atau Pasir Mas sahaja (mak saya minta supaya menantunya boleh makan budu).

6. Berketurunan Melayu.

7. Muda dua tahun dari saya.

8. Pandai memasak.

9. Lemah lembut.

10. Punya sifat keibuan yang tinggi.

11. Pandai mengambil hati orang tua.

12. Menghafaz sekurang-kurangnya 15 juzuk al-Quran.

13. Komited dalam dakwah.

14. Rajin bertahajjud.

15. Tidak lebih tinggi dari saya. Tinggi saya 1.63 cm sahaja.

16. Bertubuh sederhana, tidak terlalu kurus dan tidak terlalu gemuk.

17. Aktif bersukan.

18. Ramah-tamah.

19. Pandai memandu kereta.

20. Jangan anak sulung atau bongsu.

21. Sanggup untuk berhari raya pertama di kampung saya di Pengkalan Chepa.

22. Tidak ada sakit yang kronik, terutamanya sakit kulit.

23. Boleh juga bekerja untuk menambah pendapatan keluarga.

24. Subur, kerana saya mahukan sekurang-kurangnya enam orang anak dalam keluarga seperti Dr. Z.

Saya membaca senarai itu dengan mata yang berpinar-pinar, terasa seperti mahu tersembur air kopi yang sedang dihirup. Subhanallah, di mana harus saya cari bidadari seperti ini untuk menjadi pasangan hidupnya.

Sedaya upaya saya cuba mengawal diri, menahan tawa dan mengelakkan dari raut wajah saya berubah untuk tidak mengecilkan hatinya. Perasaan terasa bercampur-baur antara lucu dan kasihan. Sungguh 'hebat' fantasi anak muda 'dakwah' ini dalam menentukan kriteria pemilihan pasangannya.

Saya menghabiskan kopi yang panas sebelum memulakan bicara. Ada sesuatu yang harus saya katakan padanya. Namun perlu berhalus agar tidak mengusik hatinya. Dalam berdepan isu begini, kadang-kadang ikhwah mudah terasa hati.

"Akhi, anta sekarang dah hafaz berapa juzuk?" Saya menukar sedikit topik perbualan.

"Errr...baru hafaz juz 30 dan 29, itupun masih ada yang tak berapa lancar." Jelasnya jujur sambil tersengih menampakkan susunan giginya yang tidak sama.

"Macamana dengan kriteria yang saya bagi tu Abang Hisham, agak-agak ada tak akhawat yang seperti itu?" Tanya Faiz. Namun sekali lagi saya tidak menjawab soalannya dan bertanya lagi.

"Akhi, malam tadi anta solat tahajjud dan khatam 1 juzu' bacaan al-Quran tak?"

"Tak pula, letih sangat, malam tadi habis mesyuarat lambat sangat. Insya-Allah malam ni kami ada program Qiam bersama mad'u junior. Insya-Allah malam ni kami akan Qiam."

Saya mendengar jawapannya dengan bersahaja, kemudian bertanya lagi.

"Akhi, semalam berapa kali anta solat berjemaah di masjid?"

"Kenapa abang Hisham tanya soalan-soalan ni? Bukankah kita sedang berbincang tentang Baitul Muslim? Apa kena mengenanya?" Balas Faiz dengan wajah yang sedikit berubah dan suara yang agak sedikit keras walaupun masih cuba dikawalnya.

Jika kulitnya putih mungkin telah berubah menjadi kemerah-merahan tanda tidak puas hati. Tetapi kulit sawo matang melayu Kelantan yang diwarisi menyebabkan hanya kerutan yang kelihatan sedikit di dahi.

Saya hanya tersenyum.

"Beginilah Faiz, apa yang Faiz tulis dalam kertas tu bagus, cuma ia terlalu bagus. Abang Hisham yakin, dalam zaman sekarang ini, sepuluh bahkan seratus tahun mencari pun belum tentu Faiz akan berjumpa dengan calon seperti yang diinginkan jika semua kriteria tersebut harus dipenuhi."

"Tidak ada eh?" balas Faiz penuh persoalan. Keningnya diangkat sedikit.

"Kalaupun ada, mungkin dia dah kahwin dengan juara Imam Muda musim kedua agaknya. Hahaa" Saya menjawab sambil ketawa kecil. Cuba menceriakan suasana. Dia juga kelihatan tersenyum.

"Abang Hisham tanya soalan-soalan tadi supaya Faiz tahu yang Faiz pun tak sempurna mana, jadi dalam mencari calon isteri ni, tak perlulah terlalu memilih itu dan ini, sebab kita pun bukan setaraf Imam Ghazali, dengan peserta Imam Muda yang terkeluar pada pusingan pertama pun belum tentu." Jelas saya dengan bersahaja sambil merenung tepat ke wajahnya dan memberikan senyuman yang manis.

"Habis tu, bagaimana Abang Hisham?" Tanya Faiz, wajahnya kelihatan penuh ingin tahu.

"Beginilah, ...."

"Abang Hisham akan cuba tanyakan pada isteri, kalau-kalau ada calon yang sesuai. Insya-Allah, kami akan cari calon yang terbaik untuk Faiz, tapi bukan yang sempurna. Kami akan cuba tengok kalau-kalau kriteria tersebut boleh dipenuhi, tapi untuk memenuhi 1/3 darinya pun hampir mustahil."

"Anta kena ingat akhi, walaupun berada dalam sistem tarbiah dan usrah, tetapi akhawat itu tetap manusia dan tetap seorang wanita." Saya menjelaskan.

"Ada yang rupanya cantik, tapi pengamalan agamanya mungkin agak kurang."

"Ada pula yang rupanya agak sederhana dan hafazannya cuma satu juz sahaja tapi komitmen dakwahnya baik.

"Lemah-lembutnya mungkinlah tidak selembut Asyiela Putri pelakon Upin Ipin tu, tapi tidaklah pula sekeras dan se 'brutal' Kak Ros. Haha" saya menjelaskan lagi sambil tertawa. Kemudian saya menyambung bicara.

"Tentang memasak, usah dirisaukan, asalkan dia punya keinginan untuk belajar, Insya-Allah beres semuanya. Kalau nak cari yang makan budu, orang Kelantan pun tak ramai yang makan budu. Isteri ana orang Pahang, tapi hantu budu juga. Dulu ana tak makan tempoyak, tapi lepas kahwin dengan orang Pahang, ana jadi hantu tempoyak."

"Kemudian, tentang kesihatan, orang perempuan ni, ada masa dia sihat dan ada juga masa dia akan sakit, terutamanya bila mengandung."

"Tentang menghormati orang tua dan sifat-sifat mahmudah yang lain, perkara itu boleh ditarbiah dan sebahagian dari tanggungjawab suami setelah berkahwin adalah untuk membimbing isterinya dengan sifat-sifat mulia, bukan mengharapkan cinta dari bidadari syurga yang serba sempurna." Panjang saya 'mengomel'.

"Tak mengapa Faiz, nanti abang Hisham akan carikan calon yang terbaik untuk Faiz dan semestinya kriteria yang akan abang Hisham cari adalah yang paling baik agamanya."

"Banyakkanlah berdoa agar kita dipertemukan dengan jodoh yang terbaik, bukan yang tercantik dan bukan yang sempurna segalanya dan lupa juga meminta agar Allah memudahkan segala urusan untuk membina masjid ini. Ok, Faiz?" Saya menepuk bahunya dengan mesra. Anak muda sepertinya banyak perlukan bimbingan. Bukan leteran yang akan menghancurkan perasaan.

Perbualan di atas mungkin hanya rekaan, tetapi ia adalah hasil dari pengalaman saya dan rakan-rakan dalam mengendalikan urusan Baitul Muslim para pemuda-pemudi dalam dan luar negara selama beberapa tahun.

Ia kisah benar yang saya rangkumkan dalam satu perbualan. Mungkin agak ideal, tetapi itu sebahagian dari realiti ikhwah ketika mencari calon pasangan.

Dalam urusan memilih calon, harus diingat bahawa kita memilih calon di kalangan manusia, bukan Malaikat atau bidadari syurga.

Apabila pasangan itu namanya manusia, maka akan wujudlah kekurangan di sana dan di sini. Cuma satu pesanan yang ingin saya titipkan buat anak muda, pilihlah calon yang baik pengamalan dan penghayatan agamanya, Insya-Allah, rumahtangga akan dipenuhi dengan kasih sayang dan keberkatan dari Allah S.W.T.

Boleh sahaja kita memilih calon yang senegeri, yang sedap dipandang mata, punya sifat keibuan yang tinggi, pandai memasak dan sebagainya, tetapi harus diingat, bahawa kriteria pertama yang harus dilihat adalah bagaimana penghayatan agamanya, dan sejauh mana dia mengiltizamkan diri untuk membaiki diri menjadi manusia yang lebih baik.

Jika penghayatan agamanya baik, maka berlapang dadalah sedikit jika calonnya dari negeri seberang atau selang dua buah negeri atau mungkin rupanya tidak secantik dan secomel Mia Sara.

Tidak ada perkara yang tidak boleh dirunding dengan ibu bapa. Mereka hanya mahu yang terbaik untuk kita, rundinglah dengan baik dan penuh hikmah, Insya-Allah, jalan keluarnya pasti ada jika kita ikhlas ingin membina rumahtangga. Tidak ada ibu bapa yang inginkan kesengsaraan anak-anaknya.

Tentang kecantikan pula, jika calon yang dipilih adalah kerana kecantikan wajahnya, maka ketahuilah bahawa selepas berkahwin, wajah yang cantik akan menjadi biasa selepas hari-hari dipandang mata dan syaitan akan menghias wanita-wanita lain yang bukan mahram agar kelihatan lebih cantik di pandangan mata kita.

Akhirnya, yang kekal hanyalah akhlak dan pekerti yang mulia, juga keazaman untuk melahirkan dan membangunkan anak-anak singa pewaris Imaduddin, Nuruddin Zinki dan Solahuddin Al Ayyubi.

Usah terlalu gedik dalam memilih calon, tetapi biarlah realistik.

Akhir sekali, apa yang paling penting adalah bermesyuaratlah dengan ibu bapa dan orang-orang baik yang dipercayai dan berpengalaman.

Jangan lupa untuk beristikharah selepasnya agar segala keputusan mendapat panduan dari langit yang tertinggi. Insya-Allah.


Sumber

Wednesday, December 14, 2011

Detik itu..

Sungguh! aku sangat merindui Bumi Syam. Seringkali mendengar pengkhabaran keperitan yang melanda mereka kerana kekejaman pihak pemerintah terhadap rakyatnya. Teringin untuk aku paparkan semula lakaran hati disaat-saat manis bersama sahabat-sahabat di sana. Penulisan yang aku karang sewaktu kami berlima menempuh badai di Tanah Gersang Syria....

Bernafas di Bumi Anbiya'


by Maisya Ismaon on Thursday, May 12, 2011 at 4:56pm


Perjalanan yang sungguh mencabar dimuqaddimahkan dengan pelbagai tanda tanya, perasaan berkecamuk, tohmahan yang men’down’kan, perlu kepada kekuatan hati, sokongan sahabat-sahabat, kepercayaan ahli keluarga. Namun, jiwa ini masih mampu bertenang kerana aku telah dikenalkan dengan konsep tawakal sedari kecil. Itulah yang menguatkan hati untuk tidak berganjak walau selangkah dari keputusan yang telah sama-sama dimaterai bersama sahabat berlima. Di sebalik keutuhan tawakal, tertanam keyakinan penuh bahawa pasti dan pasti akan ada sesuatu yang terBAEK buat kami (kerana berGM lebih BAEK!!..erk..silap2..), yang tidak pernah disangka oleh sesiapa, yang tidak dapat diungkap oleh kata-kata, yang tidak terbayang oleh pandangan mata, yang tidak dapat juga difikirkan oleh akal manusia biasa yang sememangnya lemah dan terbatas, yang hanya DIA yang Maha Berkuasa sahaja yang Maha Mengetahui. Indahnya hidup dalam Iman dan Islam…



Bersama sahabat berlima, Muhammad Hafizan Abd Hamid, Mohd Fadhlan Sugiman, Tengku Nur Farah Nadia Tengku Zakaria, dan Nur A’tikah Salleh mengatur langkah menjejaki Bumi Anbiya’. Langkah bermula di KLIA, pertemuan diiringi kaum keluarga masing-masing, sahabat-sahabat yang sanggup meluangkan masa menghantar kami, dan juga Ustazah yang banyak berjasa buat kami, Ustazah Ummu Hani. Syukran jiddan.. Jelas terpancar kebimbangan di wajah mereka, namun masih tegar mengungkapkan kata-kata semangat buat kami, dan aku pasti, keberangkatan kami diiringi dengan ribuan doa tulus mereka. Benak hatiku mengungkapkan rasa syukur yang tidak terhingga dikurniakan orang keliling yang kenal erti Iman dan Islam dalam erti kata sebenar. Alhamdulillah.. Indahnya hidup dalam Iman dan Islam…



Lambaian terakhir dari bonda, ayahanda, azamanda, afiqanda, pakcikanda, sufianda dan yayanda di Balai Berlepas. Hatiku tenang di saat itu, di samping sahabat-sahabat.. Masih yakin dan percaya, tidak akan sia-sia walau sedikit jika berpegang utuh dengan konsep tawakal, setelah bertungkus-lumus berusaha dan berdoa. Cuba kentalkan hati untuk menerima sedaya mungkin apa jua ujian yang bakal mendatang. Indahnya hidup dalam Iman dan Islam…



Sujud syukur setibanya di Syria. Alhamdulillah semuanya diatur lancar olehNYA, pelepasan passport di airport begitu mudah, disambut baik oleh sahabat Syria, terus menaiki bas dan bertukar teksi menuju ke Bandar Damsyik. Sedikit pergelutan ketika ingin memilih teksi, gambaran awal sikap masyarakat Syria buat kami. Langkah diatur ke rumah sahabat yang sudah bernikah, disambut dengan hidangan pertama di Bumi Syria, Nasi Mandi. Di rumahnya juga, kami bertaaruf dengan Presiden Persatuan Pelajar Malaysia Syria(PPMS), Ustaz Hazuanuddin dan Setiausaha Agong PPMS, Ustaz Izwan Muhammad Najib. Diberi sedikit penerangan berkaitan situasi terkini di Syria, beberapa pantang larang, dan langkah berjaga-jaga sebelum meneruskan hari-hari di Bumi Syria. Indahnya hidup dalam Iman dan Islam…



Begitulah seterusnya kami lalui hari-hari di perantauan, sentiasa diselimuti dengan ingatan kepadaNya yang tidak putus. Kagum melihat masyarakat yang tidak pernah alpa walau sesaat menyebut dan mengingatiNya. Tangan yang tidak lekang dengan tasbih biarpun stereng cantik diputar rapi, kereta-kereta ditampal nama-nama Allah, sebutan lidah yang sentiasa berzikir mengalunkan namaNya biar dalam percakapan harian. Ditambah lagi dengan suasana redup dan sejuk, mengajakku beristighfar panjang memikirkan dosa-dosa laluku sepanjang bergelar manusia.. Astaghfirullah…… Kenangan yang aku pasti tidak akan dapat diperoleh di tanah tempat tumpah darahku, Malaysia tercinta. Semoga aku mampu melalui detik-detik indah di Bumi Anbiya’ bersama sahabat-sahabat sehingga tamat tempoh kami berkhidmat. Kuharap doa dan harapan bonda, ayahanda, kaum keluarga, sahabat-sahabat buat kami berlima di sini, moga diberi kekuatan terus. Amin….. Indahnya hidup dalam Iman dan Islam…


Thursday, December 8, 2011

Bahase orang Melake..



Jom belajau bahase orang Melake meh..

1. Kensal: Tuala
2. Hawau: Lebih kurang macam "Tak guna betul kau ni"
3. Kahau: Cakap kasar
4. Godak: Kacau (Contohnya: Tolong godakkan air teh dalam jug tu) See.... sebut betul-betul GODAK. Pandai....
5. Lahabau (Lahabau berasal dari percampuran budaya Arab di Melaka sejak Zaman Kesultanan Melayu Melaka). Contohnya, "La' khabar" dan akhirnya menjadi "Lakhabau". Maknanya tidak dengar khabar. Ayat mudahnya, "Usin, lahabau kau, ingat dah mati" (Maksudnya: Usin, lama tak dengar khabar kau, ingat dah mati).
6. Berboko, barah, cekik : Makan
7. Orang Melaka kalau sebut perkataan yang hujungnya berakhir dengan huruf A mesti sesuka dan sesenang hati mereka tukar kepada huruf E kemudian meleret pulak tu. Contoh? Contohnya: Ko nak pergi mane...........Yele................Ikut suke hati ko le................
8. Satu lagi jikalau sesuatu perkataan itu berakhir dengan huruf R, maka akan ditukarkan kepada huruf U. (Contohnya: Ular jadi Ulau, Keluar jadi Keluau, Pasar jadi Pasau).
9. Kepau: Sepah (Contohnya, "Ko suke buat kepau dalam bilik aku")
10. Kumbah: Teraburkan.(Contohnya, "Aku baru je kemas baju, ko dah kumbah balik")
11. Dak: Biasa digunakan apabila menyebut nama seseorang. Contohnya, "Ko kenal Dak Samad? Duk kat belakang rumah Dak Leman"
12. Membongkah: Kuat Makan. Contoh ayat, "Asyik keje membongkah jer ko, mane le perut tak naik"
13. Gobok: Almari
14. Membongkang: Tidur yang amat lena.
15. Nau: Contoh, Loghat nau, Besau nau, Jauh nau. Asalnya daripada perkataan Benar @ Benau.
16. Melohau: Besar sangat (Contohnya: Seluau kau besau melohau.)
17. Sakau: Mengaut secara haram@ mencuri @ rampas
18. Handau : Kalah @ tewas @ lemah.
19. Antu: Kalau di area Kampung Seberang Gajah, orang tua-tua kalau nak sebut nama orang tua yang lain, depan nama tu mesti ada perkataan "Antu". Contohnya: "Antu Munah duk mane?"
20. Lopak: Pencil box.

P/s: Bahase kite, kebanggaan kite!
*Copied from orang Melake piau(pure)...