Thursday, December 22, 2011

Dia menghampiri..


Duduk diri, duduk diri, semakin tidak percaya aku semester yang seakan baru sahaja kutempuhi sudah pon berada di tahap klimaksnya. Ujian penilaian akhir yang bakal menentukan prestasi para pelajar kini berada di sekitar sudut (around the corner).

Percutian seminggu yang diperuntukkan oleh pihak kampus bukan diguna untuk merehatkan minda seperti pergi melancong, beriadah bersama keluarga, mengembara bersama rakan-rakan.. BUKAN! BUKAN! BUKAN!. Sebaliknya, peruntukan percutian adalah semata-mata untuk menyesakkan lagi dada-dada para pelajar yang sememangnya sudah sedia sesak di hujung-hujung semester ini. Manakan tidak, biasanya di hujung-hujung semester inilah segala kemungkinan PASti akan berlaku. Tuntutan assignment yang menggunung tinggi, ketebalan muka menghadapi presentation yang memerlukan persediaan rapi, mid term yang sangat menguji, dan saat-saat 'emas' beginilah biasanya mahasiswa disempitkan lagi dengan kelas-kelas ganti yang tidak putus-putus. Allah.. Memang sangat mencabar kehidupan bergelar mahasiswa.



Namun, segala kemungkinan tersebut alhamdulillah dapat dijalani dan dilepasi dengan baik, biarpun pelbagai perasaan menyelinap masuk ke lubuk hati. Dan kini, tibanya saat study week, antara waktu yang sangat-sangat perlu diberi tumpuan oleh semua pelajar. Ingin digambarkan dahsyatnya minggu study week ini, seolah-olah dalam satu semester ini, hanya minggu ini sahaja waktu untuk memahami ilmu yang dipelajari, waktu untuk mengumpul nota, waktu untuk berdiskusi bersama rakan-rakan, dan segala bagai. Mudah gambaran minggu ini seperti satu semester lagaknya, segalanya berada di dalamnya.

Segala usaha dalam satu minggu tersebut hanyalah semata-mata ingin diterjemahkan dalam beberapa helaian kertas di medan perang nanti. Kesungguhan usaha tersebut dipancarkan secara gigih kerana ingin memastikan natijahnya indah di dalam slip keputusan peperiksaan yang bakal dihantar ke rumah-rumah semua mahasiswa. Sudah semestinya kesungguhan itu sangat tinggi, orang kampung nak tengok kot!. huhu.. Hakikatnya bukan itu niatnya. Kejayaan yang diimpi bukan untuk ditinggi dan dipuji, tetapi ingin mengangkat martabat Islam itu sendiri.

Menyedari kepentingan berilmu sejak di bangku sekolah, mendesakku untuk memasakkan dalam diri, agar bersungguh untuk memperoleh kejayaan, biar Umat Islam dipandang tinggi. Kejayaan yang diraih biarlah untuk Islam, kerana Nabi saw bersabda,

الإسلام يعلوا ولا يعلى عليه

Maksudnya : “ islam itu tinggi dan tidak ada yang mengatasinya.”
( Hadis riwayat Bukhari )


Semoga ujian dunia yang bakal ditempuh bagi menamatkan sesi pengajian tahun tiga semester pertama ini bakal membuahkan hasil yang ranum dan segar. Juga buah sahabat-sahabat, perjuangan kita masih panjang. Masih banyak lagi butiran-butiran ilmu yang sepah melata belum lagi mampu untuk kita kutip. Biar segala usaha kita dalam pencarian ilmu diberkatiNya kerana ilmu itu tiada sumber lain melainkan dari Rabbul 'Izzati..


Selamat Maju Jaya!

Wednesday, December 21, 2011

Cincin.


“Faiz nak cari calon yang macam mana?” Saya bertanya sambil menghirup kopi yang masih panas. Tika suasana sejuk begini, setiap hirupan dirasakan cukup nikmat. Tambahan pula berbicara isu-isu tentang Baitul Muslim yang memerlukan fokus yang tinggi.

"Faiz sebenarnya taklah memilih sangat, tapi abang Hisham tengoklah senarai ini, mudah-mudahan ada yang punya ciri sepertinya. Kalau tidak semua pun, saya amat berharap 2/3 darinya dapat dipenuhi, kerana saya ingin melahirkan generasi yang bakal menyambung perjuangan Solahuddin." Ujar Faiz dengan bersemangat sambil menghulurkan sekeping kertas berlipat kepada saya.

"Wah! Serius sungguh nampaknya!" Ujar saya, tetapi hanya di dalam hati.

Saya menyambut kertas yang dihulurkan dan kemudian membukanya perlahan-lahan. Berkerut-kerut dahi saya membacanya.

1. Berkulit putih.

2. Punya lesung pipit.

3. Bertudung labuh

4. Berkaca mata

5. Berasal dari Kelantan, kalau boleh dari jajahan Kota Bharu atau Pasir Mas sahaja (mak saya minta supaya menantunya boleh makan budu).

6. Berketurunan Melayu.

7. Muda dua tahun dari saya.

8. Pandai memasak.

9. Lemah lembut.

10. Punya sifat keibuan yang tinggi.

11. Pandai mengambil hati orang tua.

12. Menghafaz sekurang-kurangnya 15 juzuk al-Quran.

13. Komited dalam dakwah.

14. Rajin bertahajjud.

15. Tidak lebih tinggi dari saya. Tinggi saya 1.63 cm sahaja.

16. Bertubuh sederhana, tidak terlalu kurus dan tidak terlalu gemuk.

17. Aktif bersukan.

18. Ramah-tamah.

19. Pandai memandu kereta.

20. Jangan anak sulung atau bongsu.

21. Sanggup untuk berhari raya pertama di kampung saya di Pengkalan Chepa.

22. Tidak ada sakit yang kronik, terutamanya sakit kulit.

23. Boleh juga bekerja untuk menambah pendapatan keluarga.

24. Subur, kerana saya mahukan sekurang-kurangnya enam orang anak dalam keluarga seperti Dr. Z.

Saya membaca senarai itu dengan mata yang berpinar-pinar, terasa seperti mahu tersembur air kopi yang sedang dihirup. Subhanallah, di mana harus saya cari bidadari seperti ini untuk menjadi pasangan hidupnya.

Sedaya upaya saya cuba mengawal diri, menahan tawa dan mengelakkan dari raut wajah saya berubah untuk tidak mengecilkan hatinya. Perasaan terasa bercampur-baur antara lucu dan kasihan. Sungguh 'hebat' fantasi anak muda 'dakwah' ini dalam menentukan kriteria pemilihan pasangannya.

Saya menghabiskan kopi yang panas sebelum memulakan bicara. Ada sesuatu yang harus saya katakan padanya. Namun perlu berhalus agar tidak mengusik hatinya. Dalam berdepan isu begini, kadang-kadang ikhwah mudah terasa hati.

"Akhi, anta sekarang dah hafaz berapa juzuk?" Saya menukar sedikit topik perbualan.

"Errr...baru hafaz juz 30 dan 29, itupun masih ada yang tak berapa lancar." Jelasnya jujur sambil tersengih menampakkan susunan giginya yang tidak sama.

"Macamana dengan kriteria yang saya bagi tu Abang Hisham, agak-agak ada tak akhawat yang seperti itu?" Tanya Faiz. Namun sekali lagi saya tidak menjawab soalannya dan bertanya lagi.

"Akhi, malam tadi anta solat tahajjud dan khatam 1 juzu' bacaan al-Quran tak?"

"Tak pula, letih sangat, malam tadi habis mesyuarat lambat sangat. Insya-Allah malam ni kami ada program Qiam bersama mad'u junior. Insya-Allah malam ni kami akan Qiam."

Saya mendengar jawapannya dengan bersahaja, kemudian bertanya lagi.

"Akhi, semalam berapa kali anta solat berjemaah di masjid?"

"Kenapa abang Hisham tanya soalan-soalan ni? Bukankah kita sedang berbincang tentang Baitul Muslim? Apa kena mengenanya?" Balas Faiz dengan wajah yang sedikit berubah dan suara yang agak sedikit keras walaupun masih cuba dikawalnya.

Jika kulitnya putih mungkin telah berubah menjadi kemerah-merahan tanda tidak puas hati. Tetapi kulit sawo matang melayu Kelantan yang diwarisi menyebabkan hanya kerutan yang kelihatan sedikit di dahi.

Saya hanya tersenyum.

"Beginilah Faiz, apa yang Faiz tulis dalam kertas tu bagus, cuma ia terlalu bagus. Abang Hisham yakin, dalam zaman sekarang ini, sepuluh bahkan seratus tahun mencari pun belum tentu Faiz akan berjumpa dengan calon seperti yang diinginkan jika semua kriteria tersebut harus dipenuhi."

"Tidak ada eh?" balas Faiz penuh persoalan. Keningnya diangkat sedikit.

"Kalaupun ada, mungkin dia dah kahwin dengan juara Imam Muda musim kedua agaknya. Hahaa" Saya menjawab sambil ketawa kecil. Cuba menceriakan suasana. Dia juga kelihatan tersenyum.

"Abang Hisham tanya soalan-soalan tadi supaya Faiz tahu yang Faiz pun tak sempurna mana, jadi dalam mencari calon isteri ni, tak perlulah terlalu memilih itu dan ini, sebab kita pun bukan setaraf Imam Ghazali, dengan peserta Imam Muda yang terkeluar pada pusingan pertama pun belum tentu." Jelas saya dengan bersahaja sambil merenung tepat ke wajahnya dan memberikan senyuman yang manis.

"Habis tu, bagaimana Abang Hisham?" Tanya Faiz, wajahnya kelihatan penuh ingin tahu.

"Beginilah, ...."

"Abang Hisham akan cuba tanyakan pada isteri, kalau-kalau ada calon yang sesuai. Insya-Allah, kami akan cari calon yang terbaik untuk Faiz, tapi bukan yang sempurna. Kami akan cuba tengok kalau-kalau kriteria tersebut boleh dipenuhi, tapi untuk memenuhi 1/3 darinya pun hampir mustahil."

"Anta kena ingat akhi, walaupun berada dalam sistem tarbiah dan usrah, tetapi akhawat itu tetap manusia dan tetap seorang wanita." Saya menjelaskan.

"Ada yang rupanya cantik, tapi pengamalan agamanya mungkin agak kurang."

"Ada pula yang rupanya agak sederhana dan hafazannya cuma satu juz sahaja tapi komitmen dakwahnya baik.

"Lemah-lembutnya mungkinlah tidak selembut Asyiela Putri pelakon Upin Ipin tu, tapi tidaklah pula sekeras dan se 'brutal' Kak Ros. Haha" saya menjelaskan lagi sambil tertawa. Kemudian saya menyambung bicara.

"Tentang memasak, usah dirisaukan, asalkan dia punya keinginan untuk belajar, Insya-Allah beres semuanya. Kalau nak cari yang makan budu, orang Kelantan pun tak ramai yang makan budu. Isteri ana orang Pahang, tapi hantu budu juga. Dulu ana tak makan tempoyak, tapi lepas kahwin dengan orang Pahang, ana jadi hantu tempoyak."

"Kemudian, tentang kesihatan, orang perempuan ni, ada masa dia sihat dan ada juga masa dia akan sakit, terutamanya bila mengandung."

"Tentang menghormati orang tua dan sifat-sifat mahmudah yang lain, perkara itu boleh ditarbiah dan sebahagian dari tanggungjawab suami setelah berkahwin adalah untuk membimbing isterinya dengan sifat-sifat mulia, bukan mengharapkan cinta dari bidadari syurga yang serba sempurna." Panjang saya 'mengomel'.

"Tak mengapa Faiz, nanti abang Hisham akan carikan calon yang terbaik untuk Faiz dan semestinya kriteria yang akan abang Hisham cari adalah yang paling baik agamanya."

"Banyakkanlah berdoa agar kita dipertemukan dengan jodoh yang terbaik, bukan yang tercantik dan bukan yang sempurna segalanya dan lupa juga meminta agar Allah memudahkan segala urusan untuk membina masjid ini. Ok, Faiz?" Saya menepuk bahunya dengan mesra. Anak muda sepertinya banyak perlukan bimbingan. Bukan leteran yang akan menghancurkan perasaan.

Perbualan di atas mungkin hanya rekaan, tetapi ia adalah hasil dari pengalaman saya dan rakan-rakan dalam mengendalikan urusan Baitul Muslim para pemuda-pemudi dalam dan luar negara selama beberapa tahun.

Ia kisah benar yang saya rangkumkan dalam satu perbualan. Mungkin agak ideal, tetapi itu sebahagian dari realiti ikhwah ketika mencari calon pasangan.

Dalam urusan memilih calon, harus diingat bahawa kita memilih calon di kalangan manusia, bukan Malaikat atau bidadari syurga.

Apabila pasangan itu namanya manusia, maka akan wujudlah kekurangan di sana dan di sini. Cuma satu pesanan yang ingin saya titipkan buat anak muda, pilihlah calon yang baik pengamalan dan penghayatan agamanya, Insya-Allah, rumahtangga akan dipenuhi dengan kasih sayang dan keberkatan dari Allah S.W.T.

Boleh sahaja kita memilih calon yang senegeri, yang sedap dipandang mata, punya sifat keibuan yang tinggi, pandai memasak dan sebagainya, tetapi harus diingat, bahawa kriteria pertama yang harus dilihat adalah bagaimana penghayatan agamanya, dan sejauh mana dia mengiltizamkan diri untuk membaiki diri menjadi manusia yang lebih baik.

Jika penghayatan agamanya baik, maka berlapang dadalah sedikit jika calonnya dari negeri seberang atau selang dua buah negeri atau mungkin rupanya tidak secantik dan secomel Mia Sara.

Tidak ada perkara yang tidak boleh dirunding dengan ibu bapa. Mereka hanya mahu yang terbaik untuk kita, rundinglah dengan baik dan penuh hikmah, Insya-Allah, jalan keluarnya pasti ada jika kita ikhlas ingin membina rumahtangga. Tidak ada ibu bapa yang inginkan kesengsaraan anak-anaknya.

Tentang kecantikan pula, jika calon yang dipilih adalah kerana kecantikan wajahnya, maka ketahuilah bahawa selepas berkahwin, wajah yang cantik akan menjadi biasa selepas hari-hari dipandang mata dan syaitan akan menghias wanita-wanita lain yang bukan mahram agar kelihatan lebih cantik di pandangan mata kita.

Akhirnya, yang kekal hanyalah akhlak dan pekerti yang mulia, juga keazaman untuk melahirkan dan membangunkan anak-anak singa pewaris Imaduddin, Nuruddin Zinki dan Solahuddin Al Ayyubi.

Usah terlalu gedik dalam memilih calon, tetapi biarlah realistik.

Akhir sekali, apa yang paling penting adalah bermesyuaratlah dengan ibu bapa dan orang-orang baik yang dipercayai dan berpengalaman.

Jangan lupa untuk beristikharah selepasnya agar segala keputusan mendapat panduan dari langit yang tertinggi. Insya-Allah.


Sumber

Wednesday, December 14, 2011

Detik itu..

Sungguh! aku sangat merindui Bumi Syam. Seringkali mendengar pengkhabaran keperitan yang melanda mereka kerana kekejaman pihak pemerintah terhadap rakyatnya. Teringin untuk aku paparkan semula lakaran hati disaat-saat manis bersama sahabat-sahabat di sana. Penulisan yang aku karang sewaktu kami berlima menempuh badai di Tanah Gersang Syria....

Bernafas di Bumi Anbiya'


by Maisya Ismaon on Thursday, May 12, 2011 at 4:56pm


Perjalanan yang sungguh mencabar dimuqaddimahkan dengan pelbagai tanda tanya, perasaan berkecamuk, tohmahan yang men’down’kan, perlu kepada kekuatan hati, sokongan sahabat-sahabat, kepercayaan ahli keluarga. Namun, jiwa ini masih mampu bertenang kerana aku telah dikenalkan dengan konsep tawakal sedari kecil. Itulah yang menguatkan hati untuk tidak berganjak walau selangkah dari keputusan yang telah sama-sama dimaterai bersama sahabat berlima. Di sebalik keutuhan tawakal, tertanam keyakinan penuh bahawa pasti dan pasti akan ada sesuatu yang terBAEK buat kami (kerana berGM lebih BAEK!!..erk..silap2..), yang tidak pernah disangka oleh sesiapa, yang tidak dapat diungkap oleh kata-kata, yang tidak terbayang oleh pandangan mata, yang tidak dapat juga difikirkan oleh akal manusia biasa yang sememangnya lemah dan terbatas, yang hanya DIA yang Maha Berkuasa sahaja yang Maha Mengetahui. Indahnya hidup dalam Iman dan Islam…



Bersama sahabat berlima, Muhammad Hafizan Abd Hamid, Mohd Fadhlan Sugiman, Tengku Nur Farah Nadia Tengku Zakaria, dan Nur A’tikah Salleh mengatur langkah menjejaki Bumi Anbiya’. Langkah bermula di KLIA, pertemuan diiringi kaum keluarga masing-masing, sahabat-sahabat yang sanggup meluangkan masa menghantar kami, dan juga Ustazah yang banyak berjasa buat kami, Ustazah Ummu Hani. Syukran jiddan.. Jelas terpancar kebimbangan di wajah mereka, namun masih tegar mengungkapkan kata-kata semangat buat kami, dan aku pasti, keberangkatan kami diiringi dengan ribuan doa tulus mereka. Benak hatiku mengungkapkan rasa syukur yang tidak terhingga dikurniakan orang keliling yang kenal erti Iman dan Islam dalam erti kata sebenar. Alhamdulillah.. Indahnya hidup dalam Iman dan Islam…



Lambaian terakhir dari bonda, ayahanda, azamanda, afiqanda, pakcikanda, sufianda dan yayanda di Balai Berlepas. Hatiku tenang di saat itu, di samping sahabat-sahabat.. Masih yakin dan percaya, tidak akan sia-sia walau sedikit jika berpegang utuh dengan konsep tawakal, setelah bertungkus-lumus berusaha dan berdoa. Cuba kentalkan hati untuk menerima sedaya mungkin apa jua ujian yang bakal mendatang. Indahnya hidup dalam Iman dan Islam…



Sujud syukur setibanya di Syria. Alhamdulillah semuanya diatur lancar olehNYA, pelepasan passport di airport begitu mudah, disambut baik oleh sahabat Syria, terus menaiki bas dan bertukar teksi menuju ke Bandar Damsyik. Sedikit pergelutan ketika ingin memilih teksi, gambaran awal sikap masyarakat Syria buat kami. Langkah diatur ke rumah sahabat yang sudah bernikah, disambut dengan hidangan pertama di Bumi Syria, Nasi Mandi. Di rumahnya juga, kami bertaaruf dengan Presiden Persatuan Pelajar Malaysia Syria(PPMS), Ustaz Hazuanuddin dan Setiausaha Agong PPMS, Ustaz Izwan Muhammad Najib. Diberi sedikit penerangan berkaitan situasi terkini di Syria, beberapa pantang larang, dan langkah berjaga-jaga sebelum meneruskan hari-hari di Bumi Syria. Indahnya hidup dalam Iman dan Islam…



Begitulah seterusnya kami lalui hari-hari di perantauan, sentiasa diselimuti dengan ingatan kepadaNya yang tidak putus. Kagum melihat masyarakat yang tidak pernah alpa walau sesaat menyebut dan mengingatiNya. Tangan yang tidak lekang dengan tasbih biarpun stereng cantik diputar rapi, kereta-kereta ditampal nama-nama Allah, sebutan lidah yang sentiasa berzikir mengalunkan namaNya biar dalam percakapan harian. Ditambah lagi dengan suasana redup dan sejuk, mengajakku beristighfar panjang memikirkan dosa-dosa laluku sepanjang bergelar manusia.. Astaghfirullah…… Kenangan yang aku pasti tidak akan dapat diperoleh di tanah tempat tumpah darahku, Malaysia tercinta. Semoga aku mampu melalui detik-detik indah di Bumi Anbiya’ bersama sahabat-sahabat sehingga tamat tempoh kami berkhidmat. Kuharap doa dan harapan bonda, ayahanda, kaum keluarga, sahabat-sahabat buat kami berlima di sini, moga diberi kekuatan terus. Amin….. Indahnya hidup dalam Iman dan Islam…


Thursday, December 8, 2011

Bahase orang Melake..



Jom belajau bahase orang Melake meh..

1. Kensal: Tuala
2. Hawau: Lebih kurang macam "Tak guna betul kau ni"
3. Kahau: Cakap kasar
4. Godak: Kacau (Contohnya: Tolong godakkan air teh dalam jug tu) See.... sebut betul-betul GODAK. Pandai....
5. Lahabau (Lahabau berasal dari percampuran budaya Arab di Melaka sejak Zaman Kesultanan Melayu Melaka). Contohnya, "La' khabar" dan akhirnya menjadi "Lakhabau". Maknanya tidak dengar khabar. Ayat mudahnya, "Usin, lahabau kau, ingat dah mati" (Maksudnya: Usin, lama tak dengar khabar kau, ingat dah mati).
6. Berboko, barah, cekik : Makan
7. Orang Melaka kalau sebut perkataan yang hujungnya berakhir dengan huruf A mesti sesuka dan sesenang hati mereka tukar kepada huruf E kemudian meleret pulak tu. Contoh? Contohnya: Ko nak pergi mane...........Yele................Ikut suke hati ko le................
8. Satu lagi jikalau sesuatu perkataan itu berakhir dengan huruf R, maka akan ditukarkan kepada huruf U. (Contohnya: Ular jadi Ulau, Keluar jadi Keluau, Pasar jadi Pasau).
9. Kepau: Sepah (Contohnya, "Ko suke buat kepau dalam bilik aku")
10. Kumbah: Teraburkan.(Contohnya, "Aku baru je kemas baju, ko dah kumbah balik")
11. Dak: Biasa digunakan apabila menyebut nama seseorang. Contohnya, "Ko kenal Dak Samad? Duk kat belakang rumah Dak Leman"
12. Membongkah: Kuat Makan. Contoh ayat, "Asyik keje membongkah jer ko, mane le perut tak naik"
13. Gobok: Almari
14. Membongkang: Tidur yang amat lena.
15. Nau: Contoh, Loghat nau, Besau nau, Jauh nau. Asalnya daripada perkataan Benar @ Benau.
16. Melohau: Besar sangat (Contohnya: Seluau kau besau melohau.)
17. Sakau: Mengaut secara haram@ mencuri @ rampas
18. Handau : Kalah @ tewas @ lemah.
19. Antu: Kalau di area Kampung Seberang Gajah, orang tua-tua kalau nak sebut nama orang tua yang lain, depan nama tu mesti ada perkataan "Antu". Contohnya: "Antu Munah duk mane?"
20. Lopak: Pencil box.

P/s: Bahase kite, kebanggaan kite!
*Copied from orang Melake piau(pure)...

Wednesday, November 30, 2011

Ungu lagi...


"Hm..esok Hari Ungu!", bisik hatiku sambil membelek memilih baju untuk ke kelas esok.

Ke kelas seperti biasa, Siasah Syar'iyyah, Dr. Wadoud berketurunan Saudi petah berkata-kata dalam bahasa ibundanya. Mungkin salah satu agenda di peringkat pentadbiran meletakkan tenaga pengajar berbangsa Arab untuk subjek Siasah Syar'iyyah, agar pelajar menjadi mayat kaku. Lama aku memikir hal ini, tidak terdaya para pelajar yang sudah lekat lidah tulen keMelayuannya untuk bertanya soalan-soalan 'panas' berhubung Siasah Syar'iyyah. Ohh! Astaghfirullah.. Cuba bersangka baik, semoga segala yang diajari olehnya mudah untuk diadaptasi dalam bentuk praktikal di luar sana nanti.


Bukan itu topik utamanya, kaki terus melangkah menuju ke tempat biasa, mencari ketenangan bersendiri di 'Bakeri Zar'. Mengunyah, mata menyeleweng entah ke mana sambil berkhayal memikirkan banyak hal, tiba-tiba kelibat beberapa siswi mendesak mata untuk terpana. Kesemuanya ungu! Aih.. Senyum terukir.. Geleng dan meneruskan misi menghabiskan roti cheese dengan cecahan Milo Ais.


Sebaik roti dihayun ke dalam mulut, secara refleks kepala diangkat atas gesaan ingin melihat siswi yang melewati di hadapanku. Juga Ungu!! Segera kuhabiskan sisa makanan yang berbaki untuk berangkat pulang. Syukur pagi ini hanya satu kelas sahaja, manakala kelas Fiqh Mawarith dibatalkan. Moga Dr. Redzuan Awang pulih segera seperti sediakala.

Langkah diayun memulakan ekspidisi keberangkatan pulang, terpesona aku melihat sekumpulan rakan yang juga berUngu-unguan. Langkah terus menapak, kedai fotostet, juga bertuankan tuan berwajah Ribena. 'Kebetulan' atau 'Perancangan'? Lirik mata pantas mengubah pandangan ke Warung Waffle, mana tahu kalau-kalau mereka juga mendokong 'Harapan Baru Mahasiswa'. Malangnya, mereka masih di tampuk lama, tidak menyahut panggilan Hari Ungu. =) (Xpe, teruskan meniaga, waffle akak sedap!)


Ramai juga berungu hari ni. Sememangnya semua mahasiswa maklum hari Khamis adalah Hari Ungu. Erk.. ada juga pihak yang cuba meuar-uarkan 'Tsunami Biru' mereka, tetapi tidak menjadi fenomena pula. Dan, peuar-uaran mereka tenggelam begitu sahaja, mungkin perlukan usaha lebih mengembalikan semula saingan sihat.



Dalam perjalanan pulang, sendiri aku melayan khayalan mengimbau detik-detik kemenangan Gabungan Mahasiswa pada malam hari di mana ribuan mahasiswa turun di Dataran Gemilang untuk sama-sama meraikan kemenangan. Beratus-ratus kenderaan bermotor sama-sama mengelilingi Bumi Kampus terCINTA Universiti Kebangsaan Malaysia dan terus menuju ke Masjid UKM. Allah!! Semuanya sujud syukur atas nikmat kemenangan.
Aku Rindu Detik Itu!!


Hampir setahun sudah berlalu rupanya. Tidak sedar, Pilihanraya Kampus bakal menyusul lagi. Semoga yang hak tetap jelas haknya agar mahasiswa tidak tersirna dalam memilih.
Ungu Pilihan kami! Bulat Tekad Kami!!

Wednesday, October 12, 2011

Terkadang Ayah.......

Salamullahi'alaikum wbt..
Selawat dan salam buat Junjungan Besar Nabi saw, kagum dengan kejernihan budi pekertinya, sehingga kini, tiada seorang pun manusia yang berselisih pendapat mengenainya.. Allah.. Moga kita dapat mencontohi peribadi akhlak Baginda saw, di setiap sudut kita bernafas, bukan hanya di 'Masjid'.

Aku tidak berniat untuk meluahkan isi hati di sini, apatah lagi ingin menceritakan hal peribadi untuk bacaan umum. Akan tetapi, aku merasakan tidak ada salahnya untuk kita sama-sama berkongsi, perihal seorang bapa.............

Perjalanan pulangku dari melayan kerenah 'Si Merah' bersama teman, tiba-tiba terpancul istilah 'ayah' keluar dari lidah sahabatku. Diceritanya, dia memeluk erat bapanya sewaktu mengambil keputusan PMR suatu ketika dahulu, tanpa menghiraukan orang sekeliling. Mungkin tindakan luar jangka katanya, kerana itu merupakan kali pertama dia berkelakuan sedemikian. Bapanya tidak mengelak, malah memberi kata semangat untuk dia terus kuat, sambil memujuk menenangkannya.

Seorang lagi temanku yang turut berada sama di dalam 'Si Merah' tidak ingin melepaskan peluang, juga menceritakan bahawa dia baru sahaja menghantar mesej kepada bapanya, "I miss my dad".. 1st time kot!.. ;) Mujur bapanya me'reply' dengan nada ~~Layan~~~ Kalau tidak, segan juga dia...

Selesai mereka berceloteh, aku terus mengambil tempat untuk berkongsi perihal bapaku pula. Sangat mengambil berat, terutama perihal 'Si Merah'. Dan bermacam-macam lagi. Bangga aku mempunyai bapa sepertinya, sanggup melayan kerenah anak yang macam-macam macam aku dan mereka(K. Long, Omie, Azam, Afiq).

Aku mengakhiri perbualan dengan membuat kesimpulan, "Rupanya ayah pun seronok bila anaknya menceritakan masalah kepadanya. Cuma, kadang-kadang kita terlalu berfokus kepada emak, hingga tidak perasan yang ayah juga sedia menjadi pendengar setia"..

Terus aku berkhayal, syukur diberi nikmat berayah. Buat sahabat-sahabat, kadang-kadang kita kurang rapat dengan ayah, jika dibandingkan dengan emak. Jangan lupa, ayah juga banyak jasanya buat kita. Selagi masih kita mampu menghirup nafas kurniaanNya, berbaktilah sepenuh hati buat ibu bapa. Kerana kita tidak tahu, bila masanya jantung ini akan berhenti degupannya..........



Tuesday, October 11, 2011

Damai seketika~

Dalam mengharungi urusan sehari-hari, kadangkala ketenangan itu perlu.. Allahu Rabbi..




Wednesday, September 7, 2011

Aidilfitri dan Selamat Datang adik-adik baru







Setinggi rasa syukur kupanjatkan ke hadrat Ilahi, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Perjalanan Hari Kemenangan yang penuh dengan 1001 kemanisan. Bersyukur kerana masih tergolong untuk meraikan Hari Kemenangan bagi umat Islam setelah sebulan menjalani sekolah Ramadhan.



Kemanisan memohon maaf atas khilaf yang lalu, dari ahli keluarga, sanak saudara, sahabat handai. Al Maklum, makhluk kecil yang tidak henti-henti melakukan kesalahan. Kunjungan tetamu yang mampu memberi kemeriahan, bantuan bonda menyediakan hidangan, konvoi raya bersama sahabat selamanya, dan berkepul-kepul angpau yang disambut baik oleh tangan kanan, indahnya di Hari Lebaran.






Juga kehilangan fon sewaktu bersama sahabat mengunjungi rumah-rumah terpilih turut menambahkan seri Aidilfitri, mengajakku kembali muhasabah, bersyukur atas kurniaanNya kerana segala di dunia hanya barang pinjaman. Lantas ku redha.....





SELAMAT DATANG MAHASISWA UKM, SESI 2011/2012




Terasa sangat singkat saat meraikan Aidilfitri, ketibaan adik-adik baru yang mendaftar di Perbukitan Ilmu UKM disambut ceria. Tahniah kerana berjaya menggilap potensi diri sehingga melayakkan diri melangkah ke alam ilmu yang lebih mencabar. Tidak ketinggalan juga buat adik-adik SMKA Sultan Muhammad, Melaka yang mendapat tempat di UKM, Selamat Datang!



Sedikit kecewa, Majlis Perwakilan Pelajar yang telah diletakkan kepercayaan oleh mahasiswa tidak diberi ruang untuk bersama-sama menyambut ketibaan adik-adik baru, malah ditengking, dimarahi, tidak ubah seperti peminta sedekah di jalanan. Adakah pentadbiran bersikap double standard dan diskriminasi terhadap Persatuan Mahasiswa Universiti yang diterajui oleh Gabungan Mahasiswa UKM? Di mana keprofesionalan pentadbiran dalam pengurusan? Masih menganggap kami seperti pembangkang, sedangkan kerajaan PMUKM sudah menjadi milik kami. Itu kepercayaan mahasiswa.




Semoga kain putih itu tidak dikotori oleh tangan-tangan yang jelas kekotorannya. Kami ingin BERSIH...


Friday, September 2, 2011

Antara Boling dan Realiti




Maha suci Allah Tuhan sekalian alam. Kupanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran kerana masih lagi mampu menghirup udara nyaman kurniaanNya tanpa memerlukan apa-apa alat bantuan pernafasan dan sebagainya.

Telah 4 hari Ramadhan berlalu pergi, kedatangan Syawal yang kujangka dingin pada tahun ini rupanya meleset sama sekali apabila ramai sanak saudara yang turut pulang beraya di kampung. Setelah penat menjelajah desa Muar dan Ijok, Kota Melaka pula kutawan.

Perayaan kali ini agak unik, kami (aku, adik dan abang) sambut petang raya ke empat di Melaka International Bowling Centre setelah beberapa kali cubaan untuk ke medan itu sebelum ini gagal. Cinta untuk aku kaitkan permainan boling dengan usaha gigih untuk mencapai sesuatu kejayaan, tidak kira sama ada visi, misi atau objektif dalam hidup.

Permainan yang pada mulanya amat membosankan aku jalani dengan penuh tabah biar beberapa kali longkang kenyang menerima suapan. Namun, bantuan, pertolongan, serta nasihat adik dan abang mampu mengembalikan semula semangat ku yang telah lumpuh tadi. Game pertama yang mendapat markah ibarat hidup segan mati tak mau bertukar ceria apabila semangat yang telah bangkit pada Game kedua mampu melonjakkan aku untuk menduduki tangga kedua mengalahkan adik yang baru setahun jagung itu.

Begitu juga kulihat perjalanan hidup yang telah kulalui, selama 22 tahun, adakala kita berada di atas, dan kadangkala kita berada di bawah. Dan tidak semestinya jika pada peringkat awalnya kita di bawah, kita akan terus berada di bawah dan di bawah. Jika usaha yang bersungguh diiringi dengan doa dan tawakal, pasti Allah tidak akan mensia-siakannya. Persis juga dengan permainan boling tadi, usaha yang hampir membuatku berputus asa dan tidak mahu main bertukar menjadi semangat dan menghampiri kejayaan(;p)setelah datangnya keyakinan, sokongan dan semangat. Dalam hati ku berdoa syukur kerana Dia menganugerahkan aku sedikit kegembiraan dalam permainan tersebut kerana berjaya memperoleh “Strike” biarpun sekali.

Namun, kadangkala kita diuji. Setelah usaha, doa, tawakal, keyakinan, dan semangat telah kita gauli bersama, tetapi kejayaan masih tidak kunjung tiba. Lantas, kita patut ucap juga rasa syukur kerana diberi ujian sebegitu rupa kerana kadangkala ujian sebegitu mampu mengajak kita lebih menghampiriNya dan terus berusaha. Ujian sebegitu juga mampu mengalihkan pandangan kita untuk melihat keadaan saudara kita di luar sana yang mendapat ujian yang lebih besar lagi. Keadaan sebegitu cukup untuk menghadirkan rasa syukur yang tidak terhingga biarpun sedikit terluka menjalani detik-detik diuji.

Selebat manapun hujan turun, pasti akan tiba saat untuk ia berhenti. Biarpun kita tidak memperoleh kejayaan dalam satu-satu pencapaian, pasti kejayaan di bidang lain akan datang menghampiri. Di sinilah terasa hebatnya senjata doa bagi seseorang Muslim.


Mungkin cukup sekadar itu perkaitan boling dengan realiti kehidupan. Harapanku agar Umat kini tidak mudah melatah berhadapan dengan ujian, malah terus bangkit dan mengatakan TIDAK pada kekalahan. Fuhh.. kuat sungguh penangan boling. Tidak terlambat untuk aku mengucapkan tahniah buat Shahrin Azam kerana berjaya menjuarai Perlawanan Boling Peringkat Ismaon’s Son pada kali ini. Buat yang kurang berjaya, Shazwan Afiq, anda ada banyak masa lagi untuk berlatih. Take ur time. Cuba lagi!.