Friday, September 2, 2011

Antara Boling dan Realiti




Maha suci Allah Tuhan sekalian alam. Kupanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran kerana masih lagi mampu menghirup udara nyaman kurniaanNya tanpa memerlukan apa-apa alat bantuan pernafasan dan sebagainya.

Telah 4 hari Ramadhan berlalu pergi, kedatangan Syawal yang kujangka dingin pada tahun ini rupanya meleset sama sekali apabila ramai sanak saudara yang turut pulang beraya di kampung. Setelah penat menjelajah desa Muar dan Ijok, Kota Melaka pula kutawan.

Perayaan kali ini agak unik, kami (aku, adik dan abang) sambut petang raya ke empat di Melaka International Bowling Centre setelah beberapa kali cubaan untuk ke medan itu sebelum ini gagal. Cinta untuk aku kaitkan permainan boling dengan usaha gigih untuk mencapai sesuatu kejayaan, tidak kira sama ada visi, misi atau objektif dalam hidup.

Permainan yang pada mulanya amat membosankan aku jalani dengan penuh tabah biar beberapa kali longkang kenyang menerima suapan. Namun, bantuan, pertolongan, serta nasihat adik dan abang mampu mengembalikan semula semangat ku yang telah lumpuh tadi. Game pertama yang mendapat markah ibarat hidup segan mati tak mau bertukar ceria apabila semangat yang telah bangkit pada Game kedua mampu melonjakkan aku untuk menduduki tangga kedua mengalahkan adik yang baru setahun jagung itu.

Begitu juga kulihat perjalanan hidup yang telah kulalui, selama 22 tahun, adakala kita berada di atas, dan kadangkala kita berada di bawah. Dan tidak semestinya jika pada peringkat awalnya kita di bawah, kita akan terus berada di bawah dan di bawah. Jika usaha yang bersungguh diiringi dengan doa dan tawakal, pasti Allah tidak akan mensia-siakannya. Persis juga dengan permainan boling tadi, usaha yang hampir membuatku berputus asa dan tidak mahu main bertukar menjadi semangat dan menghampiri kejayaan(;p)setelah datangnya keyakinan, sokongan dan semangat. Dalam hati ku berdoa syukur kerana Dia menganugerahkan aku sedikit kegembiraan dalam permainan tersebut kerana berjaya memperoleh “Strike” biarpun sekali.

Namun, kadangkala kita diuji. Setelah usaha, doa, tawakal, keyakinan, dan semangat telah kita gauli bersama, tetapi kejayaan masih tidak kunjung tiba. Lantas, kita patut ucap juga rasa syukur kerana diberi ujian sebegitu rupa kerana kadangkala ujian sebegitu mampu mengajak kita lebih menghampiriNya dan terus berusaha. Ujian sebegitu juga mampu mengalihkan pandangan kita untuk melihat keadaan saudara kita di luar sana yang mendapat ujian yang lebih besar lagi. Keadaan sebegitu cukup untuk menghadirkan rasa syukur yang tidak terhingga biarpun sedikit terluka menjalani detik-detik diuji.

Selebat manapun hujan turun, pasti akan tiba saat untuk ia berhenti. Biarpun kita tidak memperoleh kejayaan dalam satu-satu pencapaian, pasti kejayaan di bidang lain akan datang menghampiri. Di sinilah terasa hebatnya senjata doa bagi seseorang Muslim.


Mungkin cukup sekadar itu perkaitan boling dengan realiti kehidupan. Harapanku agar Umat kini tidak mudah melatah berhadapan dengan ujian, malah terus bangkit dan mengatakan TIDAK pada kekalahan. Fuhh.. kuat sungguh penangan boling. Tidak terlambat untuk aku mengucapkan tahniah buat Shahrin Azam kerana berjaya menjuarai Perlawanan Boling Peringkat Ismaon’s Son pada kali ini. Buat yang kurang berjaya, Shazwan Afiq, anda ada banyak masa lagi untuk berlatih. Take ur time. Cuba lagi!.

0 comments:

Post a Comment