Thursday, June 16, 2011

Apa beza mereka dan kita?

Benarlah hadis Baginda saw yang menyatakan………..

Maksudnya: Demi Tuhan yang jiwa Muhammad di dalam tanganya, nanti akan berpecah umatku kepada 73 puak (firqah). Maka satu sahaja masuk SYURGA dan yang 72 puak lagi masuk neraka. Bertanyanya sahabat: Siapakah mereka itu wahai Rasulullah? Jawab baginda: Ahlussunnah Wal Jamaah”.

– Riwayat At Thabranie.


Aku membiarkan fikiranku melayang mengingati satu-persatu peristiwa sepanjang pengembaraanku bersama 5 sahabat di Bumi Syam..


Menapaki bumi yang penuh barakah, mempertontonkan aku sendiri bahawa pengamalan Islam terdiri daripada pelbagai mazhab, puak, aliran dan fahaman. Selama ini hanya diterangkan di dewan-dewan kuliah sahaja, langsung tidak terlihat realitinya, sehinggakan aku menganggap bahawa kepelbagaian puak hanya wujud di zaman Baginda saw. Maka kini baru aku mengerti betapa keterlaluan sesetengah puak mengamalkan ajaran Islam yang hakikatnya mulia, syumul dan suci dari pelbagai perkara karut.


Hatiku tidak menentu tatkala diajak menziarah makam Ra’su Saidina Husin r.a. Kelihatan beberapa orang yang berpakaian serba hitam menangis teresak-esak sambil mencium-cium tiang-tiang makam tersebut. Aku terkelu tidak terkata melihat keadaan yang penuh taksub itu. Selepas aku dan sahabat-sahabat mengambil beberapa keping gambar untuk dijadikan sebahagian daripada dokumentasi, kami keluar daripada pintu utama. Di kala itu, sekali lagi aku tersentak apabila ada seorang yang juga serba hitam mencium alas kaki pintu utama tersebut. Allah!! Jangan cemari agama Islam yang mulia dengan ketaksuban yang teramat kepada makhluk Allah. Ya, tidak salah untuk mencintai keluarga para sahabat, malah itu juga yang dituntut untuk kita mengambil ibrah daripada sirah Nabi saw dan para sahabat dalam memperjuangkan agama Allah. Akan tetapi, amalan ketaksuban yang agak melampau akan memburukkan pandangan musuh Islam kepada Islam itu sendiri.


Langkah kugagahi mengekori ‘ketua darjah’ selaku ketua yang pernah menetap di tanah mulia ini, mengetahui serba sedikit selok belok jalan-jalan dan tempat-tempat bersejarah di sini. Seterusnya ke makam Saidatina Ruqaiyah, perlu memasuki sebuah bangunan, indah seperti masjid lagaknya. Kami bertiga terpisah dengan syabab kerana pintu masuk syabab dan akhawat berbeza, menyebabkan kmi hilang arah. Terus melangkah mencari arah, tidak juga terdapat tanda-tanda arah makam Saidatina Ruqaiyah, mendesak kami untuk melancarkan penggunaan bahasa Arab untuk bertanya kepada seorang wanita tua yang juga serba hitam. Balasan jawapan darinya lebih mengkakukan kami, dok pehe! Mungkin dia faham keadaan kami yang langsung tidak mengerti sepatah katanya, ibarat itik berbual mesra dengan kucing, dia terus meminta kami mengekorinya menuju ke makam tersebut. Beberapa kali kuulangi perkataan yang mendapat tempat tertinggi penggunaannya, sering aku gunakan sejak menjejaki Negara ini, Syukran jiddan!


Memasuki kawasan makam tersebut, sekali lagi amalan taksub oleh puak-puak hitam memucatkan mukaku sekaligus mendesak aku menelan air liur beberapa kali. Amat ramai mereka di situ, pelbagai aktiviti dapat dipertonton, ada yang sedang mendirikan solat, tetapi mata liar melihat orang sekeliling, ada yang mengaji Quran yang disediakan tersusun cantik di tiang-tiang makam, ada juga yang menjual anak patung. Menjual anak patung???? Aku kehairanan. Terus mataku memandang kea rah makam tempat Saidatina Ruqaiyah bersemadi, Allahuakbar!! Apa lagi perkara khurafat yang mereka lakukan!! Tidak habis-habis melaksanakan perkara yang memalukan Islam!! Anak patung dibaling-baling di atas makam, malah ada yang bergelak ketawa kerana patung yang dibaling terjatuh, tidak tersangkut di atas makam. Lebih panas hatiku melihat pagar indah yang memagari makam tercemar dengan ratusan anak patung, jutaan duit-duit, apa ertinya semua ini?? Tidak sanggup untukku melihat terus keadaan yang kuanggap bukan sahaja seperti menghina, malah mengutuk keluarga Nabi saw, terus kumengajak 3 orang sahabatku pulang.

Sebelum melangkah keluar, kulihat seorang guard wanita sedang duduk berehat. Kami bergerak kearahnya menginginkan kepastian, apa tujuan perbuatan pelik mereka membaling-baling anak patung tersebut. Jelasnya, perbuatan tersebut tidak lain, semata-mata ingin memohon hajat, seperti ingin anak cantik, baik, ingin anak bijak, dan bermacam-macam lagi. Hatiku terdetik, dimanakah sifat yakin kepada Allah? Ke mana perginya konsep tawakkal? Apakah tidak cukup jika hanya bergantung kepada Allah semata? Allahu, semoga semua umat Muhamad diberi hidayah petunjuk demi mengenali agama Islam sebenar.


Kebimbanganku melonjak setibanya di Tanah Air, isu yang sedang hangat diperdebatkan, dibahaskan, digembar-gemburkan ada kaitannya dengan agama Islam yang majority rakyat Malaysia menganutinya. Dengan kes murtadnya, Kelab isteri Taat, kes buang anak, dan sebagainya. Adakah masalah masyarakat kini ada perkaitan rapatnya dengan siapa yang memegang tampuk pimpinan? Bolehkah dikatakan bahawasanya pemimpin yang baik mampu membentuk masyarakat yang berakhlak? Jawapannya adalah YA!!! Ianya amat berkait rapat. Banyak hadis Nabi saw mahupun ayat Quran yang menerangkan betapa besarnya tanggungjawab ketua dalam memimpin peribadi dan akhlak anak buahnya.


Semoga Pilihan Raya Umum yang bakal tiba mampu memberi nafas baru kepada kuasa pemerintahan Malaysia. Tiada lain yang ingin dijulang melainkan Islam itu sendiri…… diri yang kerdil ini cuba sedaya-upaya untuk mengerah tenaga selagi mampu demi melihat Negara ini tidak lagi dikasari oleh tangan-tangan yang tidak bertanggungjawab.

~Bersama melangkah menginspirasi ummah~

0 comments:

Post a Comment