Wednesday, August 24, 2011

BATU


Dalam fatrah mengejar malam LailatulQadar ini, semua insan pastinya ternanti-nanti, tertanya-tanya adakah tahun ini mereka dipilih untuk menjadi tetamu malam al Qadr. Semoga Ramadhan yang masih berbaki ini mampu untuk terus kita menyuntik semangat berkejar dalam beribadat, kerana bimbang adakah bulan penuh barakah ini dapat lagi kita rasai.







Suka untuk aku mengambil tajuk “Batu” setelah teringat salah satu program yang dihadiri oleh aku dan adik, Shazwan Afiq ( bagi angkat sikit ;p ) sebagai peserta. Dalam salah satu slot program itu, dinamakan Kulim(Kuliah Lima Minit) adikku diminta untuk memberi kuliah bertajuk “Batu”. “Adusy.. abis la budak ni”, aku berdengus tidak meyakini kebolehannya dalam penyampaian. Tiba-tiba dia bersuara tenang menerangkan tentang Batu dan dalam masa yang sama mampu mengajakku menginsafi diri yang lemah ini.. Allah…



Dari segi zahirnya, kita melihat Batu hanyalah sesuatu yang remeh. Tidak perlu untuk diulas panjang, pastinya terlintas di benak pemikiran tentang sifat luarannya yang hodoh, keras,kaku, reka bentuk yang menggerutu dan tidak menarik, apatah lagi batu yang hitam dan kecil. Akan tetapi, jika dilihat kembali, betapa dia adalah salah satu makhluk ciptaan Allah yang sangat banyak kegunaannya, terutama untuk keperluan harian manusia.



Dirinya dicipta dalam keadaan tidak semulia kejadian manusia. Namun, lahirnya dia teramat mulia dari sudut ibadatnya kepada Allah. Hidupnya sentiasa mengingati Allah, berzikir serta memuji kebesaran Allah, mendoakan kemuliaan manusia yang pergi menuntut ilmu kerana Allah. Sanggup mengorbankan dirinya semata-mata untuk keperluan manusia biarpun dia sedar bahawa dia hanyalah seketul batu yang kecil. Dan dia, seketul batu juga akan merasa bangga di akhirat kelak kerana dia mampu melatih diri untuk tidak melakukan maksiat kepada Allah serta berjaya membawa kaum keluarganya menjauhinya.



Bagaimana kita, seorang manusia yang kononnya dicipta paling mulia dalam kalangan makhluk-makhluk yang lain, tetapi sering ingkar dengan suruhan dan larangan Allah. Tidak malukah kita dengan batu yang hanya kaku, tidak mampu bergerak, keras dan tidak beroleh nikmat semewah manusia itu telah mampu menegaskan dirinya agar terus-menerus istiqamah dalam mengabdikan diri kepada Penciptanya. Jauh berbeza jika dibandingkan dengan kebanyakan manusia yang sering tenggelam dalam arus nikmat yang melimpah ruah kurniaan Tuhan, jarang sekali melatih diri untuk bersyukur, malahan terus rakus dan sentiasa merasa tidak cukup dalam mengejar dunia yang jelas fananya.



Muhasabah kembali, semulia-mulia kejadian adalah penciptaan manusia sehinggakan Allah telah merakamkan dalam Kitab Al Quran akan darjat kemuliaan manusia, diberi pelbagai limpah kurnia semata-mata untuk menjadi ‘Abid kepadaNya serta Khalifah yang akan memakmurkan bumi ini. Maka firmannya yang bermaksud, “Nikmat mana lagi yang akan kau(manusia) dustakan”.


Aku teringin untuk mengajak sahabat-sahabat untuk sama-sama kita koreksi diri, sejauh mana ketulusan hati kita dalam beribadah, sebanyakmana detik-detik yang kita lalui dalam kehidupan ini telah kita peruntukkan untuk memikirkan tentang Islam, sebanyak mana usaha kita untuk membantu menggerakkan agama Allah, dan perkara yang selalu kita terlepas pandang, seikhlas mana kita bersedia memperuntukkan diri kita dalam menjaga hubungan sesama insan. Semoga kita tidak tergolong dalam golongan yang alpa dibuai nikmat kesenangan serta mudah rebah bila diberi sedikit ujian. Amin Ya Rabb..



Salam Ramadhan…


0 comments:

Post a Comment