Sunday, January 22, 2012

Kali ini,



اللهم صلى على محمد وعلى آل محمد

Percutian yang sememangnya dinanti-nanti oleh setiap insan bergelar mahasiswa. Waktu rehat minda, jiwa dan raga. Waktu muhasabah segala perilaku sepanjang semester yang dilalui. Dan aku, waktu aku nikmati suatu masa yang bernama 'Cuti Semester' buat terakhir kalinya, kerana selepas ini tiada lagi istilah itu buat kami pelajar tahun akhir. InshaAllah...

Nikmat cuti kali ini juga sangat asing berbanding cuti-cuti sebelum ini. Jika cuti semester lepas, aku bersama sahabat-sahabat dianugerahkan ruang masa menziarahi Bumi Anbiya', Syria. Ketika itu Syria berada di permulaan gegaran pembangkitan rakyat, kami terasa tempiasnya sepanjang keberadaan kami di sana. Dan kini.... Semoga Allah bersama mereka yang cintakan keadilan.



Sangat berbeda dengan percutian kali ini, aku diberi nikmat bertemu dan berkenalan dengan mereka yang baru hadir dalam ruang lingkup hidupku.

49:13
"Wahai Manusia! Sesungguhnya kami jadikan kamu daripada seorang lelaki dan wanita dan kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan berpuak-puak supaya kamu dapat berkenal-kenalan. Sesungguhnya orang yang paling mulia antara kamu di sisi Allah swt ialah orang yang bertakwa."
(Surah Al Hujurat : 13)

Aku juga bersyukur diberi kesempatan berada di sisi sahabat-sahabat yang sama-sama cinta untuk melebarluaskan dakwah di Tanah Tumpah, bermatlamat meneruskan perjuangan Rasul Tercinta SAW sementara nafas masih mampu kuhirup. Alhamdulillah....

Percutian kali ini juga, membenarkan aku berjumpa adik-adik SMK(A) Sultan Muhammad yang bakal menempuh ujian dunia, Sijil Pelajaran Tinggi Malaysia. Terasa malu aku berdiri di hadapan mereka, kagum dengan kematangan dan pendirian mereka, berani mengakui kelemahan diri dan berimpian besar untuk menukil sejarah bermakna buat diri, keluarga, sekolah dan paling penting menolak dakwaan bahawa umat Islam tidak mampu bersaing dengan kaum lain. Sungguh hebat pendirian mereka!



Percutian juga bakal diteruskan dengan perjalanan usaha melahirkan masyarakat yang faham akan pengertian Islam yang sebenarnya. Siapalah aku untuk membentuk mereka? Siapalah aku untuk mendidik mereka? Tetapi siapa lagi kalau bukan aku untuk bertanggungjawab di atas keruntuhan akhlak yang kian berleluasa. Terasa terpanggil untuk memastikan masyarakat memahami Islam yang syumul. Dan aku sangat berpegang dengan kata-kata "Kalau tak boleh buat semua, jangan tinggal semua", sekurang-kurangnya ada sedikit usaha ke atas amanah yang telah diberi sebagai insan bergelar khalifah.

Dan aku bercita-cita untuk memastikan percutian kali ini sebagai sebuah percutian bermakna, dan akan menjadi percutian yang akan kukenang sepanjang hayatku. Ku pohon kesetiaan memberi inspirasi...


"Allahu amin..
Kau bantulah kami untuk mengisi nikmat waktu yang berbaki dengan segala perilaku yang Kau redhai,

jauhi kami dari segala amalan yang hanya merugikan diri kami sendiri..
Kau Maha Agung,

berikan kesempatan untuk kami bersama-sama dengan sahabat anugerahMu menunaikan tugas sebagai hambaMu,
Kau permudahkan urusan kami Ya Allah...

Amin Ya Rabbal 'Alamin.."....


Ku harap hari-hari yang bakal kutempuh diselimuti dengan keindahan hidup sebagai seorang Muslim, dikelilingi oleh mereka yang juga cintakan Islam, serta mudah untuk mereka menerima dan beramal dengan cara hidup Islam..

1 comments:

Hamiza Hani binti Omar said...

selamat bercuti..hargai cuti2 terakhir sebagai seorang mahasiswi.. ;)

Post a Comment