Monday, August 22, 2011

Bagaimana keadaan penerus generasi kami??







Menyelusuri pagi hari di bulan Ramadhan, amat menenangkan. Tiba-tiba, akalku terajak untuk memikirkan keadaan penerus generasi kami. Melihat kepada keadaan umat kini yang seperti tidak berpelajaran, berkelakuan seakan tiada akhlak dan maruah, berpemikiran seolah-olah tidak pernah mengenal apa itu Islam. Bimbang! Bagaimanakah generasi penerus kami? Siapakah penyelamat?layakkah Negara yang dibentuk oleh pemerintah kini melahirkan penerus yang lebih hebat, sehebat Umar Abdul Aziz, Sultan Murad serta anaknya Sultan Muhammad Al Fateh, atau lebih hebat lagi, dapat mencontohi pemerintahan Rasulullah saw dalam bernegara? Persoalan yang masih tiada jawapan…..





SISTEM PENGURUSAN NEGARA




Bermula dari pemerintahan seperti yang aku sebutkan di awal pendahuluan tadi, Negara yang ditadbir oleh mereka yang hebat semestinya cantik dari segenap sudut, terutamanya dari sudut sistem pengurusan Negara. Sistem pengurusan Negara yang elok bukan sahaja terkesan kepada pengaliran wang Negara dapat diuruskan dengan baik, tidak berlaku penyalahgunaan kuasa atau jenayah kolar putih, badan-badan kerajaan dan swasta beroperasi seperti yang direncanakan, malah lebih dari itu, ianya terkesan kepada akhlak masyarakat itu sendiri. Ingin melihat bagaimana masyarakat dalam berakhlak, lihat pemimpinnya dahulu.



SISTEM PILIHANRAYA



Barisan kepimpinan di Malaysia dibentuk melalui proses pilihanraya. Aku tidak ingin mengulas panjang mengenai hukum sistem ini dijalankan, kerana telah banyak perbahasan yang dibuat dan tiada hukum haram yang qat’I dijatuhkan. Aku tidak menyokong sistem ini sepenuhnya, akan tetapi aku kira, adalah wajar untuk kita menggunakan medan sistem ini sebagai wasilah atau jalan untuk mengembalikan semula hukum pemerintahan Islam yang pernah dibawa masuk ke Tanah Melayu melalui Melaka dan digunapakai ketika zaman pemerintahan Parameswara suatu ketika dahulu. Sistem pilihanraya ini hakikatnya telah diperkenalkan oleh Barat, dan hari ini, sistem ini bukan sahaja telah diamalkan, tetapi telah dikotori oleh pelbagai taktik demi kepentingan pihak-pihak tertentu. Berlawan di padang yang sama, tetapi 1 pasukan dibenarkan memakai kasut, dan pasukan lagi satu tidak dibenarkan, 1 pasukan bebas berlari dengan kedua belah kaki,dan pasukan satu lagi diikat kedua kakinya, pengadil di’beri makan’ oleh 1 pasukan. Maka, mereka pon beraksi bertempur dalam keadaan yang sangat berat sebelah. Adakah logic rakyat telah diberi kebebasan demokrasi sepenuhnya jika perkara jijik seperti ini tersusun rapi dalam system yang kononnya bertindak adil? Nonsense!



SISTEM SOSIAL



Natijah daripada system pengurusan Negara yang ditadbir oleh pemerintah kini, dimulai dengan system pilihanraya yang kotor, maka terhasillah sebuah Negara yang bersistem sosialkan seperti kini. Sangat berbeza jika disbanding beza dengan pemerintahan seorang pemerintah yang juga seorang manusia, Sultan Umar Abdul Aziz. Beliau bukan bertaraf nabi yang diberi kelebihan maksum dalam tindakan, beliau juga seorang suami, bapa, memegang banyak lagi amanah dalam kehidupannya. Juga hidup bermasyarakat, tiada bezanya dengan pemerintah kini. Akan tetapi, urus tadbirnya jauh lebih baik jika dibandingkan dengan urus tadbir kepimpinan Malaysia. Negara mengamalkan prinsip yang telah disusun cantik dalam al Quran, menteri-menteri dilatih beramanah, hak rakyat terjamin, keperluan rakyat dipenuhi dan rakyat terbela! Hebatnya seorang hamba Allah ini, dapat memastikan semua rakyatnya hidup aman damai, tanpa kecurian, tanpa jenayah, tanpa penyelewengan, tiada kes buang anak, tiada siram asid, malah tiada rakyatnya yang hidup melata, tiada kemiskinan, dan tiada lagi yang layak menerima zakat. Allahu Rabbi! Kesan pemerintahan orang mereka yang berpegang utuh dengan agamaMu. Begini Negara impianku, yang entah bila akan menjadi realiti.





SISTEM PENDIDIKAN



Anak-anak Malaysia telah dicorak dengan didikan mengikut system pendidikan barat sejak pertama kali melangkah kaki ke alam persekolahan. Sehingga ke peringkat pengajian yang kononnya paling tinggi, pengajian mereka disekularkan terus apabila mereka yang mengambil aliran sains, tiada langsung pengisian agama diberikan. Begitu juga dengan mereka yang mengambil jurusan agama, tidak didedahkan langsung dengan teknologi sains yang kian membangun. Teringat kata-kata seorang ustaz, “Kita kena touch system pendidikan untuk merubah segalanya, hatta Negara sekalipun”, menunjukkan betapa tingginya kuasa pendidikan.





Tokoh-tokoh Islam yang hebat mampu lahir sebagai seorang yang hebat dalam pelbagai bidang, dalam masa yang sama, dia juga seorang ulama’ tersohor. Kaedah-kaedah sains dan matematik yang dikaburi kononnya diperkenalkan oleh Barat, seperti Algebra, Prinsip Archimedes, Inersia, Sinus, Tangen, dan bermacam-macam lagi hakikatnya telah dahulu dijumpai oleh tokoh ilmuan Islam seperti Ibn Sina, Ibn Rusyd, Jabir Al Hayyan, Al Kindi dan ramai lagi. Inilah hasil pendidikan yang tidak terikat dengan system sekular Barat. Bilakah Malaysia akan lahir sebagai sebuah Negara yang mampu menghasilkan generasi Ulul Azmi?




BERMULA DARI RUMAH




Kata orang, pendidikan anak bermula dari rumah. Kata-kata tersebut ada juga benarnya. Untuk memperoleh anak yang hebat, pertama sekali akhlak seseorang individu haruslah dijaga bermula seawal mencari pasangan. Kemudian, dalam memilih ciri-ciri pasangan, hendaklah mengikut 4 ciri yang telah diajarkan oleh Baginda saw, dan keutamaan lebih diberikan kepada agamanya. Kemudian, akhlak sepanjang tempoh berkenal-kenalan sehingga kea lam rumah tangga. Seterusnya, amalan ibu bapa sepanjang anak dalam perut sehingga lahir, contoh ibu bapa di rumah, cara mendidik anak, semuanya mudah jika system yang dimodelkan oleh Nabi saw dijadikan contoh dan diamalkan. Maka, lahirlah anak-anak yang hebat yang bakal membentuk sebuah keluarga bahagia, masyarakat penyayang dan Negara yang aman.





TIDAK 100% BERMULA DR RUMAH





Namun, boleh juga dikatakan bahawa anak-anak tidaklah 100% lahir dari sebuah rumah. Suka untuk aku ungkapkan bahawa sistem yang diatur oleh kerajaan juga barkait rapat dalam pembentukan anak-anak. Hal ini kerana anak-anak tidak selamanya berada di dalam rumah, malah lebih terdedah kepada persekitaran luar yang maksimumnya dibentuk oleh system kerajaan. Sebagai contoh, telah menjadi budaya di kebanyakan Negara-negara Arab, tiada seorang pun peniaga wanita. Mungkin kerana didikan pemerintah yang tidak menggalakkan wanita untuk berlebihan dalam bersosial, wallahua’lam. Lagi, pengharaman pemakaian tudung dalam badan-badan kerajaan di Turki juga menunjukkan kerajaan mempunyai kuasa dalam penentuan hidup rakyatnya, biarpun kea rah kemudharatan sekalipun. Banyak lagi contoh-contoh yang jelas menunjukkan bahawa pemerintah lebih berkuasa dalam mengawal tindak-tanduk rakyatnya.





Bayangkan jika semua pub-pub diharamkan, penjualan arak dibanteras, pengedaran dadah dihapuskan habis-habisan, sudah pasti rakyat tidak akan terdedah dengan gejala yang tidak sihat. Kelas-kelas agama diwajibkan di semua peringkat usia, budaya ilmu diuar-uarkan, cara berpakaian menurut Islam diwajibkan, dan banyak lagi usaha yang mampu dibuat oleh pemerintah, kerana pemerintah berkuasa menentukan keadaan rakyatnya. Jadi, pemerintah yang bagaimana yang kita mahukan?




HARAPAN DAN IMPIAN




Ulama’ pewaris nabi, di zaman yang diselaputi najis fitnah ini, jika bukan mereka yang kita ikuti, siapa lagi yang boleh dijadikan tempat rujuk?hebatnya sultan Muhammad al fateh dalam legasi pemerintahannya kerana dikelilingi oleh para penasihat yang wara’, sehinggakan berjaya membebaskan kota konstantinopal dalam usia yang cukup muda, 21 tahun.




Nah! Keputusan di tangan kita sebagai pemilih. Harapanku dalam bulan ramadhan penuh barakah ini, di 10 mlm terakhir, juga sempena meraikan peningkatan usiaku, aku cinta untuk melihat Malaysia ditadbir oleh mereka yang benar-benar ingin mengangkat tinggi hukum Allah. Bukan bermakna aku tidak bersyukur berada di Negara yang aman, tidak seperti di Timur tengah, tetapi aku sedih memikirkan masyarakat yang masih leka dengan nikmat kesenangan sehingga terlalu senang berada di bawah sebuah Negara yang kononnya ditadbir oleh pemerintah Islam, tetapi tiada usaha untuk menjunjung tinggi hukum Allah. Dan yang paling aku bimbangi, bagaimana keadaan penerus generasi kami? Semoga Malaysia yang dicintai berjaya ditakluki oleh tangan-tangan yang cintakan kebenaran.


4 comments:

Unknown said...

MasyaAllah, penulisan yang sangat baik!
Terbaiklah Maisya!! Semakin matang meniti usia...
hehe
So, jom kita sama2 realisasikn impian maisya utk generasi akn dtg..
Bersama Melangkah Menginspirasi Ummah! :)

Maisya Ismaon said...

Xdela, cume risau je.. yela, usia pon dah lanjut, nanti sape nak tngok anak2 kite.. ;)

Ayuh2!! Bersama Melangkah Menginspirasi Ummah!

Muhammad Hafizan bin Abd Hamid said...

erk~

Maisya Ismaon said...

nape tuan??

Post a Comment