Wednesday, December 14, 2011

Detik itu..

Sungguh! aku sangat merindui Bumi Syam. Seringkali mendengar pengkhabaran keperitan yang melanda mereka kerana kekejaman pihak pemerintah terhadap rakyatnya. Teringin untuk aku paparkan semula lakaran hati disaat-saat manis bersama sahabat-sahabat di sana. Penulisan yang aku karang sewaktu kami berlima menempuh badai di Tanah Gersang Syria....

Bernafas di Bumi Anbiya'


by Maisya Ismaon on Thursday, May 12, 2011 at 4:56pm


Perjalanan yang sungguh mencabar dimuqaddimahkan dengan pelbagai tanda tanya, perasaan berkecamuk, tohmahan yang men’down’kan, perlu kepada kekuatan hati, sokongan sahabat-sahabat, kepercayaan ahli keluarga. Namun, jiwa ini masih mampu bertenang kerana aku telah dikenalkan dengan konsep tawakal sedari kecil. Itulah yang menguatkan hati untuk tidak berganjak walau selangkah dari keputusan yang telah sama-sama dimaterai bersama sahabat berlima. Di sebalik keutuhan tawakal, tertanam keyakinan penuh bahawa pasti dan pasti akan ada sesuatu yang terBAEK buat kami (kerana berGM lebih BAEK!!..erk..silap2..), yang tidak pernah disangka oleh sesiapa, yang tidak dapat diungkap oleh kata-kata, yang tidak terbayang oleh pandangan mata, yang tidak dapat juga difikirkan oleh akal manusia biasa yang sememangnya lemah dan terbatas, yang hanya DIA yang Maha Berkuasa sahaja yang Maha Mengetahui. Indahnya hidup dalam Iman dan Islam…



Bersama sahabat berlima, Muhammad Hafizan Abd Hamid, Mohd Fadhlan Sugiman, Tengku Nur Farah Nadia Tengku Zakaria, dan Nur A’tikah Salleh mengatur langkah menjejaki Bumi Anbiya’. Langkah bermula di KLIA, pertemuan diiringi kaum keluarga masing-masing, sahabat-sahabat yang sanggup meluangkan masa menghantar kami, dan juga Ustazah yang banyak berjasa buat kami, Ustazah Ummu Hani. Syukran jiddan.. Jelas terpancar kebimbangan di wajah mereka, namun masih tegar mengungkapkan kata-kata semangat buat kami, dan aku pasti, keberangkatan kami diiringi dengan ribuan doa tulus mereka. Benak hatiku mengungkapkan rasa syukur yang tidak terhingga dikurniakan orang keliling yang kenal erti Iman dan Islam dalam erti kata sebenar. Alhamdulillah.. Indahnya hidup dalam Iman dan Islam…



Lambaian terakhir dari bonda, ayahanda, azamanda, afiqanda, pakcikanda, sufianda dan yayanda di Balai Berlepas. Hatiku tenang di saat itu, di samping sahabat-sahabat.. Masih yakin dan percaya, tidak akan sia-sia walau sedikit jika berpegang utuh dengan konsep tawakal, setelah bertungkus-lumus berusaha dan berdoa. Cuba kentalkan hati untuk menerima sedaya mungkin apa jua ujian yang bakal mendatang. Indahnya hidup dalam Iman dan Islam…



Sujud syukur setibanya di Syria. Alhamdulillah semuanya diatur lancar olehNYA, pelepasan passport di airport begitu mudah, disambut baik oleh sahabat Syria, terus menaiki bas dan bertukar teksi menuju ke Bandar Damsyik. Sedikit pergelutan ketika ingin memilih teksi, gambaran awal sikap masyarakat Syria buat kami. Langkah diatur ke rumah sahabat yang sudah bernikah, disambut dengan hidangan pertama di Bumi Syria, Nasi Mandi. Di rumahnya juga, kami bertaaruf dengan Presiden Persatuan Pelajar Malaysia Syria(PPMS), Ustaz Hazuanuddin dan Setiausaha Agong PPMS, Ustaz Izwan Muhammad Najib. Diberi sedikit penerangan berkaitan situasi terkini di Syria, beberapa pantang larang, dan langkah berjaga-jaga sebelum meneruskan hari-hari di Bumi Syria. Indahnya hidup dalam Iman dan Islam…



Begitulah seterusnya kami lalui hari-hari di perantauan, sentiasa diselimuti dengan ingatan kepadaNya yang tidak putus. Kagum melihat masyarakat yang tidak pernah alpa walau sesaat menyebut dan mengingatiNya. Tangan yang tidak lekang dengan tasbih biarpun stereng cantik diputar rapi, kereta-kereta ditampal nama-nama Allah, sebutan lidah yang sentiasa berzikir mengalunkan namaNya biar dalam percakapan harian. Ditambah lagi dengan suasana redup dan sejuk, mengajakku beristighfar panjang memikirkan dosa-dosa laluku sepanjang bergelar manusia.. Astaghfirullah…… Kenangan yang aku pasti tidak akan dapat diperoleh di tanah tempat tumpah darahku, Malaysia tercinta. Semoga aku mampu melalui detik-detik indah di Bumi Anbiya’ bersama sahabat-sahabat sehingga tamat tempoh kami berkhidmat. Kuharap doa dan harapan bonda, ayahanda, kaum keluarga, sahabat-sahabat buat kami berlima di sini, moga diberi kekuatan terus. Amin….. Indahnya hidup dalam Iman dan Islam…


0 comments:

Post a Comment